Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) berjaya menganjurkan Program Transformasi Pengkategorian Golongan Kata di SJK(T) Ladang Highlands pada 14 Februari 2023 (Selasa), pukul 8.30 hingga 11.00 pagi. Seramai 150 orang murid Tahun 5 dan 6 telah menyertai program ini dan memberikan kerjasama yang terbaik. Program ini bertujuan untuk menguji pengetahuan murid tentang kata nama, kata kerja & kata adjektif, memperkenalkan kaedah baharu dalam mengenal pasti kata nama, kata kerja & kata adjektif, membolehkan murid membentuk kata nama, kata kerja, dan kata adjektif berdasarkan kaedah NAsKp, dan memantapkan pemahaman murid tentang kata nama, kata kerja & kata adjektif yang berfungsi sebagai golongan kata utama sebelum murid melangkah kaki ke alam persekolahan menengah. Pendekatan didik hibur telah diaplikasikan untuk memastikan murid-murid dapat mengenal pasti golongan kata (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) dengan betul. Semua murid telah bergiat aktif sepanjang perjalanan program dan hasil kerja tangan semasa pelaksanaan aktiviti memang amat menakjubkan. Hasilnya, program yang telah dijalankan memberikan peluang kepada murid untuk meneroka kosa kata yang meliputi kata nama, kata kerja & kata adjektif dengan menggunakan objek di sekeliling mereka. Pihak PTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada warga SJK(T) Ladang Highlands, terutamanya puan guru besar, Pn. M. Panginiammal yang mengambil inisiatif untuk menjalankan program tersebut. Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada Pn. Sri Vithyalega Muthu yang bersama-sama kami untuk memastikan program berjalan dengan lancar. Semoga kerjasama sebegini sentiasa berterusan pada masa akan datang bagi memperkasakan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid.