Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM)

Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam

25 Jun 2015

Puteri Palma Condominium, Putrajaya

Pertubuhan Tulir Malaysia(PTM)  merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diasaskan oleh Professor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam, pensyarah Bahasa Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 25 Jun 2015. PTM telah dilancarkan secara rasmi oleh Professor Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM pada 30 September 2017 di bawah Akta Pertubuhan 1966. PTM sedang beroperasi di PGG-01-05 Puteri Palma Condominium, 62502 IOI Resort City, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Malaysia.

Professor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam, pengasas PTM merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau telah menjalankan kajian selama 5 tahun dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Hasil kajian tersebut telah direka bentuk sebagai satu program untuk membantu guru-guru bukan opsyen bahasa Melayu yang mengajar Bahasa Melayu di SJK(T).

PTM sering menganjurkan program-program yang berkaitan dengan pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan guru dan murid sekolah. Program sulung PTM iaitu Program Guru Celik Bahasa (PGCB) telah diadakan di lapan buah negeri untuk guru-guru bukan opsyen bahasa Melayu di SJK(T). Program ini dijalankan menerusi dana yang diterima daripada Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC). Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi setiap negeri telah memberikan sokongan sepenuhnya sepanjang program ini dijalankan. PGCB turut memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Melalui program ini, sebuah pasukan peningkatan telah ditubuhkan bagi setiap negeri untuk mendorong guru-guru bahasa Melayu SJK(T) menganjurkan pelbagai program yang berkaitan dengan bahasa Melayu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Selain itu, program rekayasa pula diadakan untuk murid-murid yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

Pengasas PTM

Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam

Vijayaletchumy Subramaniam merupakan Profesor di Jabatan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau telah dianugerahkan ijazah Sarjana Muda dalam Linguistik Melayu (Kepujian Kelas Pertama) pada tahun 1998 (Universiti Putra Malaysia). Beliau meneruskan ijazah Sarjana di Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia dalam bidang Kesusasteraan Melayu pada tahun 2000. Pada tahun 2003, beliau telah dianugerahkan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Psikolinguistik. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 2010. Vijayaletchumy telah berjaya membentangkan hasil penyelidikan mengenai disleksia di beberapa persidangan tempatan dan antarabangsa dan dalam jurnal tempatan. Beliau juga memenangi beberapa anugerah untuk penyelidikan mengenai disleksia: Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2011 (Emas); Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi 2011 (Terbaik: WIPO), Persidangan Antarabangsa dan Pameran Inovasi dan Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2011 (Emas); Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2012 (Emas). Di samping itu, beliau telah memenangi Anugerah Kuasa Kempimpinan ICLIF yang julung kali diadakan di atas kejayaan beliau mencipta fonik tutor kepada masyarakat. Justeru, beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2015. 

Sumbangan beliau terserlah peringkat universiti di mana beliau memimpin pelajar-pelajar Fakulti Ekonomi dalam mencapai kejayaan peringkat kebangsaan (Tempat Ke-3,National Entrepreneurship Challenge 2015/16). Beliau kini merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga merupakan Pengerusi Panel Penilai bagi Program Siswazah (Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling), pelancar (convener) untuk Pusat Pendidikan Menengah (New Dehli, India), Panel Temuduga Biasiswa JPA 2012, Panel Penilai Universiti dan Penasihat bagi Dewan Pendidikan Rakyat Selangor. Beliau merupakan ahli beberapa persatuan: Persatuan Disleksia Antarabangsa, Persatuan Disleksia Malaysia, Persatuan Disleksia Singapura, Persatuan Disleksia Madras, Persatuan Penterjemah Malaysia, Institut Bahasa dan Komunikasi, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Psikolinguistik Malaysia, Persatuan Teknologi Pendidikan, Penyelidikan dan Pembangunan, Persatuan Linguistik Indonesia, Pertubuhan Sasterawan Kaum India Malaysia dan Lembaga Pemeriksa Mother Teresa Women’s University. Vijayaletchumy juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Olahraga Masters Selangor, Pengurus Audit Persatuan Olahraga Masters Malaysia dan ahli Persatuan Olahraga Master Dunia dan Malaysia Hindu Sangam.

Close Menu
EnglishMalay
×
×

Cart