Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) berjaya menganjurkan Program Transformasi Pengkategorian Golongan Kata di SJK(T) Ladang Mentakab pada 10 JUN 2023 (Sabtu), pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Seramai 41 orang murid Tahun 4, 5 dan 6 telah menyertai program ini dan memberikan kerjasama yang terbaik walaupun program dijalankan pada hujung minggu. Program ini bertujuan untuk mengetengahkan inovasi baharu menggunakan Model NAsKp dalam mencerakinkan golongan kata mengikut kategori dengan betul.
Pendekatan didik hibur digunakan kepada murid-murid untuk memastikan murid-murid dapat mengenal pasti golongan kata (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) dengan betul. Ujian pra dan ujian pasca dijalankan bagi mendapatkan maklum balas daripada setiap murid tentang penggunaan golongan kata dalam bahasa Melayu dengan betul. Semua murid telah bergiat aktif sepanjang perjalanan program dan hasil kerja tangan semasa pelaksanaan aktiviti memang amat menakjubkan. Hasilnya, program yang telah dijalankan mencungkil minat murid untuk belajar tentang penggolongan kata dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Program ini disudahi dengan acara majlis penutupan oleh pihak sekolah. Acara menandatangani MoU antara Pertubuhan Tulir Malaysia dengan SJK(T) Ladang Mentakab telah berlangsung dan menjadikan sekolah tersebut sebagai sekolah angkat. PTM akan melaksanakan program mengikut fasa dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan di sekolah tersebut. Pihak PTM mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan sokongan semua guru termasuk Puan Guru Besar, Puan Rukumani Amir Singh demi kelancaran dan kejayaan program.