SJK(T) LADANG KINRARA

Pertubuhan Tulir Malaysia telah melaksanakan projek sekolah angkat dengan menandatangani memorandum persefahaman bersama dengan SJK(T) Ladang Kinrara. Sehubungan dengan itu, Program Transformasi Pengkategorian Golongan Kata PAK21 Melalui Terapi Lukisan telah diadakan pada 24 Ogos 2024 (Sabtu), pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Seramai 45 orang murid Tahun 6 telah menyertai program ini dengan iringan guru mata pelajaran Bahasa Melayu, iaitu Cikgu Pathma, Cikgu Kanageswary salah seorang ahli PTM, dan ahli PIBG SJK(T) Ladang Kinrara. Program ini berjaya dilaksanakan di bawah bimbingan Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam selaku Presiden PTM bersama-sama dengan gandingan penceramah, iaitu Dr. Pavitira Nagaraju dan para fasilitator yang mewakili PTM, iaitu Dr. Kavenia Kunasegran, Shree Ambikai, dan Encik Gunendran Krishnaswamy. Program ini dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan Kata Adjektif yang berfungsi sebagai golongan kata utama bahasa Melayu dalam bentuk inovasi selaras dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini telah menjadi satu landasan kepada murid untuk mengingati sembilan jenis Kata Adjektif melalui terapi lukisan. Seterusnya, hasil transformasi ilmu juga mencerminkan pemikiran kritis dan kreativiti murid yang berupaya untuk membentuk pelbagai bentuk lukisan berdasarkan ilmu yang telah diperoleh. Selain itu, kaedah yang telah diperkenalkan membantu murid untuk meluaskan perbendaharaan kata yang melibatkan sembilan jenis Kata Adjektif. Pengetahuan murid telah diuji berdasarkan penilaian pra dan pasca yang membuktikan tahap penguasaan murid dalam aspek Kata Adjektif tercapai. Tambahan pula, aktiviti bengkel yang telah dijalankan berjaya mencungkil semangat kerjasama secara berkumpulan untuk menyempurnakan tugasan yang diberikan dalam masa yang ditetapkan.

EnglishMalay