Pada 1 April 2023 (Sabtu), satu program khas, iaitu Program Pemantapan Kata Pemeri telah dijalankan untuk murid-murid Sekolah Jenis kebangsaan Tamil Ladang Highlands, yang juga merupakan salah sebuah sekolah anak angkat Pertubuhan Tulir Malaysia. Seramai 100 orang murid darjah 6 diiringi 6 orang guru Bahasa Melayu bersama-sama Guru Besar SJK (T) Ladang Highlands telah menghadiri program ini. Peneraju Program Pemantapan Kata Pemeri ialah Pertubuhan Tulir Malaysia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. Program ini telah diadakan di Mini Auditorium 1, TNCPI UPM. Objektif khusus program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan memantapkan penguasaan kata pemeri kepada semua murid darjah 6 sebelum melangkah ke alam persekolahan menengah. Usaha baik ini telah mendapat tajaan daripada Dato’ Vikness Raju, Pengarah Butai Sdn. Bhd. Atas sumbangan beliau, para murid telah memperoleh manfaat, iaitu setiap seorang mendapat buku “Kuasai Kata Pemeri” secara percuma.
Program ini dimulakan pada pukul 8:30 pagi dengan menguji tahap penguasaan dan kefahaman murid-murid dalam aspek kata pemeri. Dr. Kavenia telah mengagihkan borang soal selidik kepada semua murid untuk melihat pencapaian dan kefahaman mereka dalam penggunaan kata pemeri. Sesi diteruskan oleh Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dengan pendedahan penggunaan kata pemeri ‘ialah’. Setiap satu penerangan oleh Prof. Dr. Vijayaletchumy diikuti latihan yang bersesuaian yang dapat membantu murid-murid memahami konsep penggunaan kata pemeri ‘ialah’ dengan tepat. Selama 4 jam program ini berlangsung, murid-murid telah dimantapkan dengan penguasaan kata pemeri ‘ialah’ yang hanya akan digunakan di hadapan kata nama. Objektif program telah dicapai dengan jayanya. Pada sesi akhir program tersebut, murid-murid juga diberi peluang untuk memberikan maklum balas hasil pembelajaran berkenaan konsep kata pemeri yang dititikberatkan dalam program tersebut.
100 murid mendapat buku Kuasai Kata Pemeri
Sesi bergambar bersama-sama Penaja Utama, Pihak Penganjur dan Guru-guru SJK(T) Ladang Highlands
Penyampaian Sijil Penghargaan oleh Prof. Dr. Vijayaletchumy kepada Dato’ Vikness Raju