PROGRAM SISTEM PENARAFAN BINTANG BERSAMA
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI LABUAN

Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam telah membangunkan satu sistem pemantauan tahap penguasaan bahasa kebangsaan murid yang dikenali sebagai Sistem Penarafan Bintang. Sistem ini telah dibangunkan hasil daripada dapatan kajian yang telah dilakukan selama 5 tahun untuk membantu warga pendidik memantau penguasaan bahasa kebangsaan murid berdasarkan konstruk tatabahasa yang ditekankan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran Sekolah (DSKP). Selaras dengan itu, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu tentang sistem yang telah dibangunkan di Makmal Komputer Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Seramai 55 orang guru Bahasa Melayu sekolah rendah telah menyertai program tersebut dan memberikan lambakan komen positif tentang perkongsian ilmu yang telah dijalankan. Malahan, para peserta turut berkongsi pandangan masing-masing tentang penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk memudahkan pengurusan sistem tersebut kepada warga pendidik. Selain itu, pihak SISC+ Bahasa dari JPN Wilayah Persekutuan Labuan turut menyertai program ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang penggunaan sistem tersebut di sekolah.