TAJAAN
TUJUAN
Program ini diwujudkan untuk memberikan pendedahan kepada guru tentang pengajaran dan pembelajaran kata nama terbitan dalam bentuk inovasi selaras dengan perkembangan minda murid berdasarkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
OBJEKTIF
SIRI 1
Memberikan pendedahan tentang:
- Pembentukan kata nama terbitan (imbuhan awalan & akhiran) melalui penggunaan elemen grafik.
- Pelibatan alomorf dalam imbuhan awalan peN-
- Pengenalan akronim untuk mengukuhkan konsep penggantian yang terlibat dalam pembentukan kata nama terbitan.
- Penghasilan dadu berdasarkan imbuhan kata nama untuk memantapkan pemahaman tentang pembentukan kata nama terbitan.
SIRI 2 & 3
Memberikan pendedahan tentang:
- Pembentukan kata nama terbitan (imbuhan akhiran & apitan) melalui penggunaan elemen grafik.
- Pelibatan alomorf dalam imbuhan awalan peN-
- Penyediaan kepelbagaian bahan bantu mengajar dalam penyampaian PdPc tentang kata nama terbitan
Pertubuhan Tulir Malaysia dengan penuh tulus dan ikhlas menzahirkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Tuan Raveendran Nair A/L Kesavan Nair, Ketua Pengarah, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) atas penyaluran geran dalam melaksanakan Program Rekonstruksi Kata Nama Terbitan SJK(T) Negeri Selangor & Pengedaran Hasil Inovasi Dadu Gergasi Imbuhan PAK21 & Buku Mari Mengenali Alomorf Bahasa Melayu Melalui Teknik GAD. Penajaan program ini kepada murid-murid B40 merupakan hasrat utama dalam memastikan perkembangan murid-murid kumpulan B40 ini tidak terpinggir malah seiring dengan kemajuan pendidikan negara.
Program ini dilaksanakan dengan bantuan geran kewangan MITRA yang telah diluluskan oleh Kementerian Perpaduan Negara pada 10 Jun 2022 sebanyak RM267, 183.36.00. Seramai 200 orang guru Bahasa Melayu dari 99 buah SJK(T) di Selangor telah menghadiri program ini melalui bengkel yang telah dijalankan dalam 3 siri, yang telah bermula pada 18 Julai 2022 dan berakhir pada 18 Oktober 2022. Selain itu, bahan inovasi Dadu Gergasi Imbuhan PAK21 dan buku Mari Mengenali Alomorf Bahasa Melayu Melalui Teknik GAD telah diedarkan kepada 5,667 orang murid tahun 6 di semua SJK (T) negeri Selangor.
Sehubungan dengan itu, program yang dilaksanakan kepada guru-guru Bahasa Melayu SJKT Negeri Selangor ini pastinya telah membuahkan hasil yang bermakna. Hal ini dikatakan demikian kerana, bengkel yang dijalankan kepada guru-guru dapat dilatih menggunakan bahan inovasi dalam konteks sebenar di dalam bilik darjah. Hal ini sudah tentunya mengukuhkan proses pengajaran guru-guru tersebut dengan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdPc) secara berterusan. Guru-guru yang menyertai bengkel ini akan bertindak sebagai Jurulatih Utama (JU) atau Training of Trainer (ToT) untuk menjalankan aktiviti Latihan dalam Perkhidmatan (LADAP) kepada guru-guru di sekolah atau mengikut daerah masing- masing.
Lebih menarik lagi, guru-guru tersebut juga bersedia untuk menyebar luas inovasi tersebut kepada rakan-rakan guru di samping membentuk daya kepimpinan guru sebagai penceramah. Guru-guru juga akan lebih berkeyakinan untuk mempelajari ilmu baharu tersebut dan mengaplikasikannya dalam bilik darjah. Elemen KBAT dan PAK-21 juga dapat diterapkan menerusi pengajaran guru di sekolah. Penyertaan guru-guru ini juga telah menyuntik semangat untuk menghasilkan inovasi pembelajaran yang lebih kreatif untuk manfaat murid-murid dan sekolah secara amnya.
Sebagai rumusan dan penutupan program ini, satu acara kemuncak telah dijalankan pada 18hb Oktober 2021 yang dihadiri oleh Puan Shanti Achuthan (Ketua Pengarah Sektor Pendidikan dan Latihan) mewakili Tuan Raveendran Nair A/L Kesavan Nair Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra). Majlis ini juga dihadiri oleh Timbalan Dekan (Akademik & Pelajar), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, para pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Selangor, Guru-guru besar Sekolah SJKT Negeri Selangor dan para guru Bahasa Melayu SJKT Negeri Selangor.
Majlis kemuncak ini menyaksikan kejayaan program Rekonstruksi kata nama terbitan yang diadakan secara bersiri dan maklum balas daripada setiap guru dan murid yang terlibat. Penyampaian sijil penyertaan kepada semua guru yang terlibat turut disampaikan. Acara kemuncak ini turut menyaksikan pelibatan guru dalam menyempurnakan tugasan yang diamanahkan iaitu melengkapkan borang testimoni dadu gergasi dan buku mari mengenal alomorf imbuhan bahasa Melayu berserta gambar dan video testimoni. Hadiah terbaik disampaikan kepada 10 sekolah terbaik. Guru-guru juga menyertai pertandingan menghasilkan slide pengajaran dan pembelajaran (PdPc) yang terbaik untuk dimenangi dalam program ini.
Kesimpulannya, program Rekontruksi Kata Nama Terbitan mencapai matlamatnya apabila satu inovasi bahan bantu mengajar dan buku Mari Mengenal Alomorf Bahasa Melayu dapat memberi faedah kepada semua warga pendidik dan murid-murid B40. Pihak penganjur sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak MITRA atas penajaan dana untuk melaksanakan program ini demi kemajuan dalam pendidikan anak-anak B40.