PPD KINTA UTARA
Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) telah menerima jemputan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara untuk melaksanakan Program Transformasi Pengkategorian Golongan Kata PAK21 kepada semua guru subjek Bahasa Melayu di PPD Kinta Utara. Program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18 Januari 2024 (Khamis), pukul 9.00 pagi hingga 1.30 tengah hari. Seramai 13 orang guru subjek BM telah menghadiri program tersebut. Program ini berjaya dilaksanakan di bawah bimbingan Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam selaku Presiden PTM bersama-sama dengan gandingan fasilitator iaitu Pavitira Nagaraju, Pavitra Vasuthevan, dan Monisha Divagaran yang mewakili PTM. Program ini dilaksanakan untuk memberikan pendedahan kepada guru tentang kaedah penentuan golongan kata dalam bentuk inovasi selaras dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21). Hasilnya, semua guru yang mengambil bahagian bersetuju ilmu yang telah disampaikan akan mencungkil minat murid untuk belajar tentang penggolongan kata ke arah pembelajaran PAK21. Menurut para peserta, konsep pembelajaran yang telah diperkenalkan akan membantu murid untuk menguasai konsep pengkategorian golongan kata dalam bentuk yang lebih mudah dan mencapai konsep pembelajaran berpusatkan murid. Sehubungan dengan itu, pihak PTM mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan sokongan pihak PPD yang berjaya menganjurkan program dalam usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan dan semua guru yang terlibat bersama sepanjang perjalanan program.


