J. P WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) telah berjaya menganjurkan Program Transformasi Pengkategorian Golongan Kata PAK21 dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 10 Ogos 2024 (Sabtu), pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Seramai 115 orang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah Wilayah Persekutuan Putrajaya telah mengambil bahagian dalam program ini. Program ini berjaya dilaksanakan di bawah bimbingan Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam selaku Presiden PTM bersama-sama dengan gandingan fasilitator iaitu Dr. Pavitira Nagaraju dan Pavitra Vasuthevan yang mewakili PTM. Program ini dilaksanakan untuk memberikan pendedahan kepada guru subjek Bahasa Melayu tentang kaedah penentuan golongan kata dalam bentuk inovasi selaras dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21). Hasilnya, semua guru yang mengambil bahagian dalam bahagian ini berpendapat bahawa program ini berjaya mencetuskan idea baharu dalam pengendalian pengajaran yang meliputi pembelajaran PAK21. Menurut para peserta, konsep yang telah diperkenalkan akan membantu murid untuk menentukan golongan kata sesuatu perkataan dengan mudahnya dan membolehkan guru mengendalikan pengajaran berpusatkan murid. Bahan bantu mengajar yang telah dikongsikan terbukti dapat mencungkil pemikiran kritis murid dan mengaplikasikan elemen kolaboratif dalam kalangan murid. Sehubungan dengan itu, pihak PTM mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan sokongan semua guru yang mengambil bahagian dalam sesi perkongsian ini. Ucapan penghargaan turut dikhaskan kepada Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim atas kerjasama dalam menjayakan program ini. Ucapan khas ditujukan kepada En. Mohd Sabri bin Sudin, Timbalan Pengarah/Ketua Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang telah berganding bahu dari aspek kelancaran dan kejayaan program.

EnglishMalay