DESKRIPSI RINGKAS PROGRAM

Pertubuhan Tulir Malaysia telah melaksanakan projek sekolah angkat dengan menandatangani memorandum persefahaman bersama dengan SJK(T) Ladang Kinrara. Sehubungan dengan itu, Program Rekonstruksi Kata Nama Terbitan: Kuasai Alomorf peN- telah diadakan pada 17 Oktober 2024 (Khamis), pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Seramai 97 orang murid Tahun 6 telah menyertai program ini dengan iringan Ketua Panitia Bahasa Melayu, iaitu Cikgu Pathma dan guru- guru SJK(T) Ladang Kinrara. Program ini berjaya dilaksanakan di bawah bimbingan Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam selaku Presiden PTM bersama-sama dengan gandingan penceramah, iaitu Dr. Pavitira Nagaraju dan para fasilitator yang mewakili PTM, iaitu Gokilavani Shanmugam, Monisha Divagaran, dan Pavitra Vasuthevan. Program ini dilaksanakan untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang kewujudan dan fungsi penggunaan alomorf imbuhan Kata Nama peN- berdasarkan elemen grafik, akrostik, dan dadu atau lebih dikenali sebagai Teknik GAD. Murid telah diberikan pengenalan pembentukan dan penggunaan akronim dalam proses mengingati sesuatu maklumat. Murid juga didedahkan dengan proses pembentukan perkataan berimbuhan yang melibatkan kata nama terbitan menggunakan pendekatan didik hibur. Selain itu, murid juga berjaya membentuk Dadu Gergasi Imbuhan PAK21 dengan melekat huruf yang terlibat dalam setiap imbuhan. Pengetahuan murid telah diuji berdasarkan penilaian aktiviti pra dan pasca, iaitu sebelum dan selepas menghadiri program. Hasilnya, murid berjaya membentuk perkataan berimbuhan tanpa kesalahan ejaan. Tambahan pula, daya pemikiran kritis dan kreativiti murid terserlah semasa aktiviti menghasilkan dadu. Ilmu yang telah ditransformasikan berjaya memudahkan dan menguatkan pemahaman murid terhadap elemen alomorf imbuhan peN-.

 

SJK(T) LADANG KINRARA

EnglishMalay