SERDANG, 27 APRIL 2021 – Majlis Penutupan Program Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan SJK(T) Negeri Selangor merupakan satu majlis yang dianjurkan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), atas tajaan YB Ganabatirau Veraman, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor. Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM). Majlis ini telah berlangsung pada 27 April 2021 (Selasa), pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari di Auditorium Rashdan Baba, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Ganabatirau Veraman, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor, bersama tetamu khas Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Zulhamri Abdullah, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Binti Noor Muhammad,  Pengarah Program, Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam, profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dan selaku presiden Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM), Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Penolong Pengarah Unit Bahasa, Encik Chidambaranathan a/l Appadurai,Penaung Pertubuhan Tulir Malaysia, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris, para SISC+ dari PPD negeri Selangor, Guru Besar SJK(T) Batu Caves, Pn. Saraswathy serta warga ketua panitia Bahasa Melayu SJK(T) Selangor.

YB Ganabatirau Veraman telah mengedarkan Buku Set Efektif Pembelajaran Asas Bahasa Melayu yang telah diterbitkan oleh Penerbit UPM kepada semua sekolah jenis kebangsaan (tamil) di seluruh negeri Selangor. Buku Set Efektif Pembelajaran Asas Bahasa Melayu merupakan satu set buku yang telah dibangunkan berdasarkan hasil kajian untuk memantapkan penguasaan komponen tatabahasa dalam kalangan murid. Selaras dengan itu, satu program telah dijalankan untuk semua ketua panitia Bahasa Melayu daripada setiap SJK(T) negeri Selangor untuk mendedahkan penggunaan buku tersebut dalam kalangan guru. Program ini telah dijalankan di 3 zon melalui platform google meet. Zon pertama merangkumi PPD Kuala Selangor. Seterusnya, zon kedua pula meliputi PPD Hulu Selangor, PPD Sabak Bernam,

PPD Petaling Perdana, PPD Petaling Utama dan PPD Klang. Akhirnya, zon ketiga merangkumi PPD Kuala Langat, PPD Hulu Langat, PPD Sepang, dan PPD Gombak. Program yang dijalankan selama 2 hari bagi setiap zon dihadiri oleh para SISC+ yang berfungsi sebagai pembimbing guru di sekolah.

Objektif utama program ini adalah untuk membawa transformasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru selaras dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) dengan mengkhususkan komponen tatabahasa. Majlis pada hari ini merupakan satu majlis penutupan bagi kedua-dua hari program tersebut untuk menghargai penyertaan setiap guru dan mengedarkan Set Efektif Pembelajaran Asas Bahasa Melayu kepada semua SJK(T) di negeri Selangor.

Galeri