© 2019
Platform Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan
Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) telah berjaya menganjurkan Program Transformasi Pengkategorian Golongan Kata PAK21 dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong pada 26 Julai 2024 (Jumaat), pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Seramai 38 orang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah daerah Benting telah mengambil bahagian dalam program ini. Program ini berjaya dilaksanakan di bawah bimbingan Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam selaku Presiden PTM bersama-sama dengan gandingan fasilitator iaitu Pavitira Nagaraju yang mewakili PTM. Program ini dilaksanakan untuk memberikan pendedahan kepada guru subjek Bahasa Melayu tentang kaedah pengkategorian golongan kata dalam bentuk inovasi selaras dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21). Hasilnya, semua guru yang mengambil bahagian bersetuju ilmu yang telah disampaikan akan mencungkil minat murid untuk belajar tentang penggolongan kata ke arah pembelajaran PAK21. Menurut para peserta, konsep pembelajaran yang telah diperkenalkan akan membantu murid untuk menguasai konsep pengkategorian golongan kata dalam bentuk yang lebih mudah dan mencapai konsep pembelajaran berpusatkan murid. Sehubungan dengan itu, pihak PTM mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan sokongan semua guru yang mengambil bahagian dalam sesi perkongsian ini. Ucapan penghargaan turut dikhaskan kepada Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim atas kerjasama dalam menjayakan program ini. Ucapan khas ditujukan kepada Puan Noraini binti Zainal, Pegawai SISC+ Bahasa, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong yang telah berganding bahu dari aspek kelancaran dan kejayaan program.
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan, Malaysia
+60 12 329 6215 (Presiden)
+60 19 259 3858 (Timbalan Presiden)
+60 17 469 2807 (Setiausaha)