Dengan kejayaan Program Pemantapan Kata Pemeri yang pertama di SJK(T) Ladang Highlands, Pertubuhan Tulir Malaysia terus mengorak langkah menganjurkan Program Pemantapan Kata Pemeri ke-2 di SJK(T) West Country Timur. Program ini telah diadakan pada 13 Mei 2023 (Sabtu). Program ini adalah khas untuk murid-murid Sekolah Jenis kebangsaan Tamil West Country Timur, yang juga merupakan salah sebuah sekolah anak angkat Pertubuhan Tulir Malaysia. Seramai 85 orang murid darjah 6 diiringi 6 orang guru bersama-sama Guru Besar SJK (T) West Country Timur telah menghadiri program ini. Peneraju Program Pemantapan Kata Pemeri ialah Pertubuhan Tulir Malaysia dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. Program ini telah diadakan di Mini Auditorium 1, TNCPI UPM. Objektif khusus program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan memantapkan penguasaan kata pemeri kepada semua murid darjah 6 sebelum melangkah ke alam persekolahan menengah. Usaha baik ini telah mendapat tajaan daripada Dr. Karthik Elangkovan. Atas sumbangan beliau, para murid telah memperoleh manfaat, iaitu setiap seorang mendapat buku “Kuasai Kata Pemeri” secara percuma. Program ini dimulakan pada pukul 8:30 pagi dengan menguji tahap penguasaan dan kefahaman murid-murid dalam aspek kata pemeri.
Dr. Kavenia telah mengagihkan borang soal selidik kepada semua murid untuk melihat pencapaian dan kefahaman mereka dalam penggunaan kata pemeri. Program pada kali ini telah dipecahkan kepada 4 sesi. Idea ini adalah daripada Prof. Dr Vijayaletchumy Subramaniam dengan harapan murid perlu menguasai subjek dan predikat, pola ayat, dan kata nama am dan kata nama khas supaya memudahkan mereka memahami konsep kata pemeri dengan jelas. Sesi dimulakan oleh Cikgu Pavitra dengan memberikan pendedahan subjek dan predikat. Sesi kedua diambil alih oleh Cikgu Richard dengan tajuk Pola Ayat. Sesi ketiga disambung oleh Cikgu Usha dengan menguji kefahaman murid terhadap penggunaan huruf dalam kata nama am dan kata nama khas. Akhir sekali Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam memberikan penjelasan konsep kata pemeri ‘ialah’ diikuti latihan yang bersesuaian supaya dapat memantapkan penguasaan konsep dan pengaplikasian kata pemeri. Setelah 4 jam program ini berlangsung, murid-murid telah dimantapkan dengan penguasaan kata pemeri ‘ialah’ yang hanya akan digunakan di hadapan kata nama. Objektif program telah dicapai dengan jayanya. Pada sesi akhir program tersebut, murid-murid juga diberi peluang untuk memberikan maklum balas hasil pembelajaran berkenaan konsep kata pemeri yang dititikberatkan dalam program tersebut.
100 murid mendapat buku Kuasai Kata Pemeri