Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru bahasa pendidikan khas dan prasekolah dari sekolah SK, SJK(T) dan SJK(C) di negeri Selangor terlibat dalam Program Introduksi Terapi Berkuda untuk Murid Disleksia yang telah berlangsung pada 13 Oktober 2022 bertempat di Auditorium Rashdan Baba, UPM. Program ini memberikan pendedahan tentang intervensi terapi berkuda untuk murid berkeperluan khas melalui buku panduan yang dihasilkan, iaitu Buku Panduan Intervensi Terapi Berkuda untuk Murid Disleksia terbitan Penerbit UPM. Program ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Tulir Malaysia dengan kerjasama Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Program ini ditaja oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).