Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) berjaya menganjurkan Program Transformasi Pengkategorian Golongan Kata PAK21 di SJK(T) Ladang Lanadron, Panchor, Johor dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar pada 8 Ogos 2023 (Selasa), pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang. Seramai 54 orang murid Tahun 4, 5 dan 6 dari SJK(T) Ladang Lanadron, SJK(T) Ladang Temiang Renchong, SJK(T) Jalan Khalidi dan SJK(T) Ladang Ban Heng telah mengambil bahagian.

Program ini berjaya dilaksanakan di bawah bimbingan Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam selaku Presiden PTM bersama-sama dengan gandingan fasilitator iaitu Pavitira Nagaraju dan Pavitra Vasudevan,  yang mewakili PTM. Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Pn. Zaini Binti Md Jamal, SISC+ Bahasa, PPD Muar. Program ini dilaksanakan untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang kaedah pengkategorian golongan kata dalam bentuk inovasi selaras dengan pembelajaran abad ke-21 (PAK21). Hasilnya, program yang telah dijalankan berjaya mencungkil minat murid untuk belajar tentang penggolongan kata ke arah pembelajaran PAK21. Semua murid telah bergiat aktif sepanjang perjalanan program. Selain itu, konsep pembelajaran yang telah diperkenalkan membantu murid untuk menguasai konsep pengkategorian golongan kata dalam bentuk yang lebih mudah dan mencapai konsep pembelajaran berpusatkan murid. Pihak PTM mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan sokongan semua guru termasuk Tuan Guru Besar, Encik Selvam a/l Ramasamy yang telah meluangkan masa sepanjang perjalanan sesi perkongsian ilmu demi kelancaran dan kejayaan program. Ucapan khas turut ditujukan kepada Cikgu Selvaraja Rahman yang memberikan kerjasama dan sokongan dari aspek persediaan program.