
Profesor Dr. Aini adalah lulusan ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) tahun 1979, dari Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). Kemudian beliau melanjutkan pengajian pada peringkat pasca siswazah, iaitu Master Sains Veterinar (MVSc) dalam bidang Perubatan Avian, di Universiti Liverpool, England (1981), dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari UPM (1989), dalam bidang yang sama. Beliau seterusnya menjalani latihan Pasca Kedoktoran di Universiti California, Davis, USA (1990-1992), dan di Universiti Cornell, USA (1993), di mana beliau terlibat dalam penyelidikan patogenesis molekular.
Dari aspek penyelidikan, Profesor Aini merupakan saintis yang terkenal dalam penyelidikan berkaitan pengawalan penyakit, dan penghasilan vaksin haiwan ternakan. Penyelidikan beliau telah membawa kepada pengkomersialan vaksin penyakit Newcastle (NDV4-UPM) (1995), dan vaksin kultur tisu fowl pox (1996). Pada tahun 2005, pasukan penyelidikan beliau berjaya mengkomersilkan satu lagi vaksin ayam penting, iaitu vaksin penyakit berjangkit bursal (infectious bursal disease). Pasukan penyelidikan beliau juga telah membangunkan beberapa kit diagnostik pantas untuk mengesan avian influenza (selsema burung), yang merupakan satu penyakit zoonotik, penyakit Newcastle dan Mycoplasmosis. Terbaharu, pasukannya sedang membangunkan vaksin halal, dengan menggunakan beberapa carrier yang berbeza di dalam bioreaktor, juga vaksin DNA.
Beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai persatuan profesional di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada tahun 2013, beliau diberi penghormatan dengan dilantik sebagai ahli Hall of Honour World Veterinary Poultry Association (WVPA), daripada 52 ahli ulung dari seluruh dunia, atas sumbangan dan kepimpinan beliau kepada komuniti negara-negara membangun dalam penyelidikan dan pembangunan kesihatan avian, dan pada tahun 2015 beliau dipilih sebagai Naib Presiden WVPA.
Sebagai saintis terkemuka, beliau telah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (FASc) pada 2008, Felo Pengasas bagi Malaysian `College of Veterinary Specialists’ (FMCVS), Felo bagi `Malaysian Scientific Association’ (FMSA), dan Felo `Islamic World Academy of Sciences’ (FIAS) pada 2011. Profesor Aini memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya adalah Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010, Kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk pada tahun 2011, Lifetime Achievement Award- Academic & Veterinarian di Livestock Asia 2018, dan Matsuda Award 2018 oleh ISSAAS.
Beliau mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas, antaranya adalah sebagai Pengerusi Hospital Pengajaran Veterinar,Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, sehinggalah pada 1 Januari 2016 beliau dilantik sebagai Naib Canselor UPM yang ke-8.