Siaran Media
Buku Panduan Kosa Kata Bahasa Melayu untuk murid SJKT
SERDANG, 10 Dis – Sekumpulan pensyarah dan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) serta guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menghasilkan Buku Panduan Kosa Kata Bahasa Melayu SJKT untuk menggilap murid SJKT dalam subjek Bahasa Melayu.
Buku itu dilancarkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris di sini. Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), Jabatan Perdana Menteri, Prof. Datuk Dr. Rajendran Nagappan dan Presiden Pertubuhan Tulir Malaysia, Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam.
Pelancaran buku itu merupakan lanjutan daripada Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan SJKT 2015/2016 yang melibatkan sekolah-sekolah Tamil di lima negeri terpilih iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.
Hasil Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan SJKT itu mendapati bahawa guru bukan opsyen Bahasa Melayu di SJKT dan mahasiswa UPM berbakat dalam menghasilkan buku panduan kosa kata bahasa Melayu.
Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini berkata UPM sentiasa memberi sokongan kepada program berasaskan akademik yang dirancang oleh Pertubuhan Tulir Malaysia dalam meningkatkan prestasi subjek Bahasa Melayu di kalangan murid SJKT. Katanya, ini adalah kali pertama di Malaysia buku-buku panduan berasaskan kosa kata Bahasa Melayu dilancarkan untuk kegunaan murid SJKT.
Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy yang juga pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, UPM pula berkata, masalah kekurangan buku panduan bagi guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan di pasaran telah melahirkan inisiatif bagi beliau dan ahli kumpulan untuk menghasilkan buku panduan pengajaran Bahasa Melayu bagi tahap satu dan dua. Buku yang dihasilkan termasuk satu set yang mengandungi lima jenis buku bagi tahap satu dan tahap dua yang dihasilkan berpandukan buku teks dengan setiap helaian buku teksnya dikupas dengan kata nama, kata kerja dan kata adjektif.
Beliau yang juga pemilik inovasi buku panduan kosa kata bahasa Melayu berkata beliau menggunakan buku teks SJKT tahap satu dan tahap dua untuk menghasilkan buku panduan kosa kata itu supaya guru subjek bahasa Melayu dapat membiasakan murid-murid dengan perbendaharaan kata yang sedia ada dalam buku teks.
Sumber – Berita UPM
Program Celik Bahasa Kebangsaan beri pendedahan khusus mata pelajaran BM
SERDANG, 22 Mei – Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan Program Celik Bahasa Kebangsaan untuk memberikan pendedahan secara khusus berkaitan pengajaran dan penguasaan tatabahasa Melayu kepada guru mata pelajaran Bahasa Melayu.
Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam berkata program itu disasarkan untuk memantapkan pengetahuan ilmu tatabahasa asas Bahasa Melayu di kalangan guru.
Justeru, katanya, langkah pertama yang diambil dengan menjalankan Program Murid Cendekia Bahasa Kebangsaan yang bertujuan memantau tahap penguasaan dan kecemerlangan murid dalam Bahasa Melayu, mendapati pengetahuan tatabahasa di kalangan murid berada pada tahap minimum dan prestasi murid adalah membimbangkan.
Dr. Vijayaletchumy dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM berkata mereka juga menguji pengetahuan yang sama di kalangan guru dan keputusan menunjukkan bahawa tahap pengetahuan tatabahasa guru juga berada pada tahap yang minimum.
Beliau yang dibantu oleh penyelidik bersama Prof. Dr. Che Ibrahim Salleh, Sivaneswary Sivaratanam dan Thiviyah Manicam berkata dengan adanya Program Celik Bahasa Kebangsaan’ itu, guru dapat mengguna, menyebar dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid dengan lebih yakin dan efisien.
Program itu dijalankan dengan beberapa slot utama yang meliputi pra ujian, pasca ujian dan slot pengetahuan serta inovasi pengajaran. Setiap program juga disertakan dengan beberapa slot pemantapan bahasa termasuk penguasaan tatabahasa, morfologi dan sintaksis.
Katanya, program itu disasarkan di kalangan guru dan murid sekolah menengah dan dan sekolah rendah seluruh negara dan boleh mendapat pasaran dari luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei yang mewajibkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan mereka.
Beliau berkata program itu bermanfaat kerana di Malaysia, mereka yang menduduki peperiksaan Siil Pelajaran Malaysia perlu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik atau kemahiran.
“Dengan adanya program ini, akan dapat membantu meningkatkan pembelajaran bahasa Melayu yang lebih baik,” katanya. – UPM
Sumber – Berita UPM, Berita Harian
INTERNATIONAL INVENTION INNOVATION & DESIGN JOHOR 2017
JOHOR, 9 Mac – Pasukan yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr Vijayaletchumy Subramaniam yang terdiri daripada 5 orang ahli termasuk Prof. Madya Dr. Che Ibrahim, Thiviyah Manicam dan Sivaneswary Sivaratanam telah mewakili Universiti Putra Malaysia ke International Invention Innovation & Design Johor 2017 yang telah diadakan di Amansari Residence Resort, Johor.
UPM membawa ‘Program Celik Bahasa Kebangsaan’ sebagai produk untuk pertandingan tersebut. Pertandingan ini terbahagi kepada 3 Kategori terutamanya Kategori 1: Tahap A: Tahap Professional & Tahap B: Tahap Tertiary, Kategori 2: Tahap A: Tahap Profesional & Tahap B: Tahap Tertiary dan Kategori 3: Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan dan Antarabangsa.
Antara 340 orang peserta, pasukan Universiti Putra Malaysia telah memenangi anugerah khas iaitu Anugerah Diamond Professional bagi keseluruhan “Best of the Best”. Anugerah disampaikan oleh Penasihat Khas kepada Menteri Beasr Johor Yang Berhormat Dr. Abdul Razak Ahmad.
Sumber:- Berita Harian