Siaran Media

13 orang guru menghasilkan 5 buah buku kerja pelajar dalam subjek Bahasa Melayu

PULAU PINANG, 1 DIS 2018 – Malam Apresiasi Guru-Guru Bahasa Melayu SJK (T) Pulau Pinang anjuran Pasukan Peningkatan Bahasa Melayu Murid-Murid SJK(T) Pulau Pinang (JKPBMPP) bersama Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) akan diadakan pada 1 Disember 2018 (Sabtu) di Safira Country Club, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Majlis ini akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, YB. Prof. Dr. Ramasamy A/L Palanisamy. Bersama tetamu khas, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Tuan Mohd Jamil bin Mohamed dan Presiden Pertubuhan Tulir Malaysia, Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam. Majlis ini juga akan dihadiri oleh mantan Ketua Pengarah SEDIC, Prof. Datuk. Dr. N.S Rajendran, warga JPN dan PPD serta guru-guru besar SJK(T) Pulau Pinang.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pengharagaan kepada guru-guru Bahasa Melayu di SJK(T) yang telah berjaya menghasilkan buku berinovasi untuk murid-murid yang mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

Pasukan Peningkatan Prestasi Bahasa Melayu Murid-Murid SJK(T) Pulau Pinang ditubuhkan oleh Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam melalui Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan (PGCB) yang telah dihadiri oleh 100 orang guru Bahasa Melayu di SJK(T) Pulau Pinang. Beliau merupakan salah seorang pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia dan beliau juga ialah presiden Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM).

Pasukan ini telah berjaya menerbitkan lima buah buku yang bertajuk Celik Kata Ganti Nama Diri, Jom Bijak Bestari Kata Bilangan, Celik Kata Adjektif, Pintar Penjodoh Bilangan dan Cerdik Kata Ganti Nama Arah. Penerbit UPM telah menerima untuk menerbitkan kelima-lima buah buku ini kerana menepati kehendak penerbit. Selain itu, buku-buku ini dihasilkan sejajar dengan perkembangan minda murid-murid abad ke-21.

Guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu di SJK (T) telah membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk menghasilkan buku bagi murid-murid yang mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua selaras dengan pembelajaran abad ke-21. Oleh sebab itu, majlis ini dianjurkan bagi menghargai usaha guru-guru tersebut dalam menghasilkan buku. Selain itu, usaha ini akan menjadi satu batu loncatan bagi guru-guru yang lain untuk menghasilkan lebih banyak buku lagi dan tidak bergantung kepada buku di pasaran sahaja.

Sumber:- Tamil Malar, RTM TV1, Bernama, TV2 Tamil News

Nilai Artikel
5/5

Maszlee minta Menteri Kabinet utamakan penggunaan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, Okt 23: Semua kementerian perlu mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi masing-masing bagi memartabatkan kembali kedudukan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

DR Maszlee menyampaikan Anugerah Penghargaan Akedemik Bahasa Melayu kepada Prof Madya Dr S Vijayaletchumy (dua kanan) bersama timbalannya Teo Nie Ching (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kanan) pada majlis pelancaran sempena Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 2018 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu.

Justeru, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kementeriannya akan memberi teguran sekiranya ada dalam kalangan Menteri Kabinet menggunakan bahasa rojak atau bahasa lain dalam urusan rasmi mereka termasuk sidang media dan kenyataan rasmi mereka.

Maszlee berkata demikian mengulas tindakan beberapa Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sering menggunakan bahasa rojak atau bahasa Inggeris ketika berucap di majlis rasmi kerajaan dan sidang media. Terdahulu, Maszlee berkata kementeriannya akan melancarkan buku ‘Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM)’ pada tahun depan bagi memberi panduan dan mengukur tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata KSBM adalah satu piawai bahasa untuk menentukan tahap pemerolehan dan penguasaan dalam kalangan penutur bahasa Melayu sama ada penjawat awam, mahu pun orang ramai.

Empat objektif utama KSBM, antaranya menentukan standard kompetensi bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, menentukan standard aras kompetensi bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu, menjadi rujukan dalam pembinaan kurikulum pendidikan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan menjadi rujukan bagi membina instrumen penguasaan bahasa Melayu.

Berikutan itu, Maszlee berkata kementeriannya akan mengedarkan manual KSBM berkenaan kepada semua agensi kerajaan di seluruh negara dan di pejabat kedutaan Malaysia di luar negara menerusi bantuan Kementerian Luar.

“Manual KSBM ini kita akan gunakan semua pada peringkat, sesuai untuk mengukur tahap penggunaan bahasa Melayu sama ada penutur jati atau bukan…kita menaikkan semua standard bahasa Melayu dalam semua sektor,” katanya.

Sumber – Berita Harian

Nilai Artikel
5/5
EnglishMalay