Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan oleh Profesor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam pada 2015 dan dijadikan sebagai platform pemerkasaan bahasa kebangsaan. PTM sering menganjurkan program yang berkaitan dengan pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan guru dan murid sekolah. Dengan ini secara rasminya, kami ingin memperkenalkan editor rasmi PTM.
Prof. Madya Dr. Che Ibrahim telah dilantik sebagai ketua editor PTM. Beliau ialah pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam pengajaran bahasa serta pakar dalam bidang linguistik terapan dan tatabahasa .
Empat profesional akademik telah dilantik sebagai editor PTM, iaitu:
1. Dr. Nor Azuwan binti Yaakob
Beliau juga seorang pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau pakar dalam bidang penulisan saintifik, teknikal dan profesional, retorik kewartawanan dan penerbitan.
2. Prof. Madya Dr. Chew Fong Peng
Beliau ialah pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
3. Dr. Azizul bin Ismail
Beliau ialah Ketua Bahagian Ensiklopedia, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga mempunyai pengalaman berkhidmat di beberapa bahagian DBP seperti Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, Bahagian Peristilahan, Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Akademik DBP. Pengalaman dan kepakaran beliau sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) terserlah apabila beliau sering diundang sebagai hakim pertandingan debat dan pidato, penceramah kursus bahasa kepada jabatan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan.
4. Prof. Madya Dr. Dahlia Janan
Beliau ialah pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bidang kepakaran beliau ialah proses membaca dan pedagogi dalam literasi, kebolehbacaan dan pendekatan inovatif untuk menilai kesukaran dan kerumitan teks dan kajian perbandingan dalam proses bacaan dan literasi. Kini, beliau sedang meneroka bidang penyelidikan kurikulum bahasa, penyelidikan penilaian dan pengukuhan bahasa serta inovasi dalam pembinaan bahan bantuan mengajar untuk bahasa Melayu sebagai bahasa asing.
Dengan ini pihak Pertubuhan Tulir Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan penghargaan yang tidak terhingga atas kesudian semua editor untuk bergabung tenaga dalam merealisasikan visi dan misi PTM.
Close Menu
EnglishMalay
×
×

Cart