Pada 18 Januari 2025, Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM) dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta SJK(T) Ladang Kinrara telah menganjurkan Program Kesiapsiagaan Pramenengah 2.0. Program ini berlangsung di Mini Auditorium, TNCPI, UPM dan bermula pada pukul 8.00 pagi. Program ini bertujuan untuk membantu murid-murid Tahun 6 SJK(T) menghadapi cabaran transisi ke sekolah menengah, khususnya dalam aspek komunikasi, budaya, dan disiplin. Program ini dirancang untuk menangani beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh murid-murid sekolah Tamil apabila melangkah ke peringkat sekolah menengah, seperti kekangan dalam penguasaan bahasa Melayu, kejutan budaya, isu disiplin, serta keupayaan menyesuaikan diri dalam kalangan pelajar daripada pelbagai kaum. Oleh itu, program ini disusun untuk meningkatkan kesedaran, kemahiran, dan keyakinan murid dalam menghadapi suasana baru di sekolah menengah. Pelaksanaan program dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 7.30 pagi, diikuti oleh ucapan daripada pengerusi majlis dan sesi ‘ice breaking’. Program ini diteruskan dengan tiga slot utama yang memberi tumpuan kepada topik-topik kritikal.

Slot 1 bertajuk Pemantapan Penguasaan Asas Kemahiran Bertutur dalam bentuk lakonan oleh murid-murid dalam kumpulan yang dikendalikan oleh Dr. Usha Nagasundram, pensyarah dari Sunway College. Slot ini bertujuan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid, terutamanya untuk berkomunikasi dengan berkesan. Seterusnya, Slot 2 iaitu Salah Laku Pelajar di Sekolah Menengah yang dikendalikan oleh Tuan Bala Karupiah, Penolong Pengurus Korporat, membincangkan isu-isu sosial yang sering dihadapi murid, termasuk kes buli dan jenayah kecil, serta kaedah untuk mengatasinya. Akhir sekali, Slot 3 bertajuk Kesedaran Disiplin dan Moral yang disampaikan oleh Cikgu Philo memberikan pendedahan tentang pentingnya disiplin dan nilai moral dalam kehidupan sekolah menengah. Slot ini berusaha menyemai rasa tanggungjawab murid serta kesedaran tentang perlunya menjaga tingkah laku untuk membentuk persekitaran pembelajaran yang harmoni. Sepanjang program, peserta juga diberikan peluang untuk berinteraksi secara aktif, menyoal dan berkongsi pengalaman. Sesi penyampaian sijil penghargaan turut diadakan selepas setiap slot sebagai tanda penghargaan kepada penceramah dan peserta. Program ini diakhiri dengan acara penutupan pada jam 2.45 petang, dan semua peserta bersurai sekitar jam 4.00 petang.

Program ini memberikan impak yang sangat positif, terutamanya dalam meningkatkan keyakinan murid untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu, yang menjadi medium utama di sekolah menengah. Selain itu, penganjur program berjaya memberikan kesedaran tentang kepentingan disiplin diri, tanggungjawab, dan penghayatan nilai moral dalam kalangan murid. Program ini juga membantu murid memahami isu-isu sosial seperti buli, jenayah, dan kepentingan menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan pelbagai kaum. Kesimpulannya, Program Kesiapsiagaan Pramenengah 2.0 telah mencapai objektifnya untuk menyediakan murid-murid dengan persiapan mental, emosi, dan sosial bagi menghadapi alam persekolahan menengah. Pihak penganjur mengesyorkan agar program ini dijadikan acara tahunan untuk memastikan kesinambungan usaha dalam memperkukuhkan jati diri dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah Tamil.

EnglishMalay