Program Guru Celik Bahasa (PGCB)

Program Guru Celik Bahasa (PGCB)

Malaysia mempunyai 523 buah sekolah Tamil yang dikenali sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia. Bahasa Tamil merupakan bahasa pengantar utama yang digunakan di SJKT. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang kedudukan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar di Malaysia dan sekali gus sebagai bahasa kebangsaan. Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Tamil tidak membimbangkan kerana bahasa Tamil merupakan bahasa ibunda bagi masyarakat India.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan kebimbangan terhadap pengetahuan dan penguasaan BM dalam kalangan murid India yang didapati amat lemah dan masih tidak mencapai tahap yang memuaskan dalam UPSR. Pembelajaran BM amat sukar bagi murid India kerana BM merupakan bahasa kedua atau bahasa ketiga bagi mereka. Penguasaan BM adalah penting dan isu tentang penguasaan BM perlulah dipandang serius dari masa ke masa untuk melahirkan generasi yang pintar dalam BM.

Maka, kami telah menerima peruntukan dana daripada SEDIC, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2015 untuk menjalankan PGCB SJKT kepada 585 guru-guru yang mengajarkan subjek BM dari 5 buah negeri iaitu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Tujuan utama Program Guru Celik Bahasa ini adalah untuk menjalankan tranformasi ilmu bidang BM berkaitan dengan kemahiran, pengetahuan, dan penguasaan BM kepada guru bukan opsyen BM di SJK (T) dan membolehkan guru bukan opsyen BM mengaplikasikan dan menyebarkan ilmu berkaitan dengan kemahiran, pengetahuan, dan penguasaan BM kepada murid di SJK (T).

“Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan” ini dijalankan dengan beberapa slot utama yang meliputi praujian, pascaujian, slot pengetahuan serta inovasi pengajaran. Selain itu, setiap program akan disertakan beberapa slot pemantapan bahasa dalam meningkatkan pengetahuan guru dalam mata pelajaran BM termasuk penguasaan daripada tatabahasa, morfologi, sintaksis, dan lain-lain. Sepanjang transformasi ilmu dilaksanakan, pada akhir perkongsian ini membolehkan agar guru bukan opsyen BM dapat menggunakan, menyebarkan, dan mengajarkan mata pelajaran BM kepada murid dengan lebih efisien dan yakin. Ini sekali gus dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan penguasaan BM dengan lebih baik, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran BM. 

Maka, ilmu yang dikongsi melalui program transformasi ini akan menjadikan guru bukan opsyen BM lebih mahir dalam pengajaran dan pembelajaran BM untuk jangka masa panjang.  Usaha murni untuk memartabatkan bahasa Melayu melalui PGCB akhirnya diiktiraf dengan pencapaian UPSR SJKT dari 5 buah negeri yang dinyatakan di mana terdapat peningkatan kelulusan dalam subjek BM yang terdiri daripada pemahaman dan penulisan.

“Menjana Cendekiawan, Menggapai Kecemerlangan” merupakan visi Pertubuhan Tulir Malaysia bagi Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan. Ini bersesuaian dengan tujuan program ini diadakan, iaitu untuk memberikankan pendedahan secara khusus berkaitan dengan pengajaran dan penguasaan tatabahasa BM kepada guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terdiri daripada guru bukan opsyen bagi mata pelajaran BM.

Pendekatan PGCB

Komponen PGCB

PGCB 1 - Kesalahan Tatabahasa

Objektif PGCB 1

Menganalisis kesalahan tatabahasa dalam penulisan. 

Hasil daripada PGCB 1

Guru dapat mengesan kesalahan umum tatabahasa dalam aspek penulisan

PGCB 2 - DBP & Dunia Penerbitan

Objektif PGCB 2

Mengaplikasikan pendekatan 3 ISI dan VAKT serta mendedahkan proses penerbitan hasil guru dan pelajar melalui DBP

Hasil daripada PGCB 2

Guru dapat menguasai pengetahuan pencarian bahan pengajaran dan mengaplikasikannya dalam kelas

PGCB 3 - Pemindahan Maklumat

Objektif PGCB 3

Menjelaskan skop pemindahan maklumat.

Hasil daripada PGCB 3

Guru dapat menguasai perbendaharaan kata kerja tahap satu dan dua berdasarkan gambar serta menyediakan modul untuk kegunaan pelajar.

PGCB 4 - Pengenalan Ayat

Objektif PGCB 4

Mentransformasikan ilmu dan pengetahuan tatabahasa asas BM

Hasil daripada PGCB 4

Guru dapat menguasai tatabahasa asas dalam pembinaan ayat. Selain itu, guru juga dapat menyediakan modul tatabahasa mengikut pemahaman murid dengan tidak melanggar hukum bahasa.

PGCB 5 - Laman Sesawang

Objektif PGCB 5

Memindahkan ilmu pencarianbahan PdP bahasa Melayu daripada laman sesawang Google

Hasil daripada PGCB 5

Guru dapat menguasai pengetahuan pencarian bahan pengajaran dan mengaplikasikannya dalam kelas

PGCB 6 - Kaedah IsSam

Objektif PGCB 6

Mentransformasikan ilmu dan pengetahuan tentang teknik penulisan karangan

Hasil daripada PGCB 6

Guru dapat menguasai kaedah IsSam dalam penulisan karangan dengan berkesan

Keunikan PGCB

Seuntai Madah

Ketua Pengarah SEDIC

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Program Guru Celik Bahasa Kebangsaan telah dilaksanakan dengan berkesan. Para peserta juga didapati 100% hadir. Ini menunjukkan bahawa guru memberikan kerjasama untuk mendapatkan pengetahuan tentang isi kandungan program. Program ini telah memberikan kesedaran kepada guru terutamanya dalam tatabahasa supaya dapat mentrasformasikan ilmu yang diperoleh daripada program ini. Pelaksanaan program ini memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak untuk menjamin kejayaan yang cemerlang di SJK (T). Kebanyakan guru memberikan komen bahawa program ini wajar dilanjutkan pada masa akan datang. Hal ini bermaksud program ini telah mencapai objektif dan memberikan kesan yang mendalam kepada guru.