Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi

Program Rekonstruksi Kata Nama Terbitan telah dijalankan di Pejabat Pelajaran Daerah Kota tinggi pada 17 Ogos 2020 (Isnin), pukul 9.00 pagi. Seramai 70 orang guru bahasa Melayu dari sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi telah menyertai program ini. Selain itu, Tuan Hesam bin Mohd Kasron, Penolong Pengarah Bahasa, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut menyertai program tersebut. Program ini diwujudkan untuk mengatasi masalah murid dalam mengenal pasti imbuhan yang terlibat untuk membentuk kata nama terbitan. Program ini dirangka berdasarkan hasil dapatan kajian yang telah dijalankan selama 2 tahun. Kajian mendapati murid mengalami kekeliruan antara pembentukan kata nama terbitan dan kata kerja terbitan serta murid murid sukar untuk memahami penjelasan yang panjang bagi sesuatu huraian imbuhan. Kekurangan pengetahuan tentang pembentukan kata nama terbitan yang betul menyebabkan murid sering melakukan kesalahan ejaan. Masalah ini turut dikenal pasti dalam kalangan murid yang mempelajari bahasa Melayu, baik sebagai bahasa kedua, mahupun bahasa pertama. Oleh sebab itu, program ini dirancang untuk memantapkan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dalam kalangan guru yang mengajar Bahasa Melayu bagi mengukuhkan pemahaman tentang kata nama terbitan dalam kalangan murid dengan menggunakan kaedah yang mudah difahami oleh murid. Program ini dapat memberikan pendedahan kepada guru tentang pengajaran dan pembelajaran kata nama terbitan dalam bentuk inovasi selaras dengan perkembangan minda murid berdasarkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hasil program ini telah membantu guru untuk menghasilkan bahan pembelajaran kata nama terbitan berdasarkan tahap pemahaman murid masing-masing melalui penerapan elemen grafik secara kreatif. Para peserta telah memberikan respons yang baik sepanjang program dan telah membawa pulang satu dadu yang lengkap untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Galeri