Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Emerald
Program Rekonstruksi Kata Nama Terbitan telah dijalankan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Emerald pada 20 Februari 2020 (Khamis), pukul 9.00 pagi. Seramai 60 orang murid telah menyertai program ini. Selain itu, guru besar SJK(T) Emerald turut menyertai program tersebut. Program ini diwujudkan untuk mengatasi masalah murid dalam mengenal pasti imbuhan yang terlibat untuk membentuk kata nama terbitan. Program ini dirangka berdasarkan hasil dapatan kajian yang telah dijalankan selama 2 tahun. Kajian mendapati murid mengalami kekeliruan antara pembentukan kata nama terbitan dan kata kerja terbitan serta murid murid sukar untuk memahami penjelasan yang panjang bagi sesuatu huraian imbuhan. Kekurangan pengetahuan tentang pembentukan kata nama terbitan yang betul menyebabkan murid sering melakukan kesalahan ejaan. Masalah ini turut dikenal pasti dalam kalangan murid yang mempelajari bahasa Melayu, baik sebagai bahasa kedua, mahupun bahasa pertama. Oleh sebab itu, program ini diwujudkan untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang pembelajaran kata nama terbitan dalam bentuk inovasi selaras dengan perkembangan minda murid berdasarkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar dapat mengukuhkan pemahaman tentang kata nama terbitan dalam kalangan murid dengan menggunakan kaedah yang mudah difahami oleh murid. Hasil program ini telah membantu murid untuk menghasilkan bahan pembelajaran kata nama terbitan berdasarkan tahap pemahaman masing-masing melalui penerapan elemen grafik secara kreatif.